Click this link!

Sunday, April 19, 2009

Ulama dunia Melayu sebagai pelopor Melayu Islam

"SIAPA pelopor?" Perlu ditanggapi dan dicari jawapan yang betul dan tepat. Pertanyaan tersebut adalah sukar dijawab, namun penulis cuba menghuraikan berdasarkan bahan-bahan tertulis dan pengalaman yang pernah ditempuhi. Sukar penulis katakan, kerana pertanyaan itu masih terlalu umum.

Pelopor dunia Melayu Islam di daerah mana yang dimaksudkan, kerana dunia Melayu Islam adalah sangat luas membentang mulai dari Cam di benua besar Asia, Patani dan Semenanjung Tanah Melayu. Singapura yang telah bernegara sendiri, hingga ke Kepulauan Filipina, Brunei Darussalam, Sabah serta Sarawak, Indonesia dan Timur Leste yang baru merdeka.

Juga pertanyaan masih belum jelas, pelopor Melayu Islam zaman bila yang dimaksudkan.
Pelopor Melayu Islam pada setiap zaman sekurang-kurangnya dapat dibahagi kepada dua golongan. Ada pelopor Melayu Islam yang terdiri dari golongan ulama, ada pula pelopor Melayu Islam memperjuangkan nasional untuk kemerdekaan.

Sebagai contoh dalam pertarungan politik di Indonesia, antara M. Natsir dengan Soekarno akhirnya kemenangan berpihak kepada Soekarno. Dalam pertarungan politik di Semenanjung Tanah Melayu pula, Ibrahim Ya'qub dan kawan-kawan, membentuk Kesatuan Melayu Muda (KMM) ternyata kemenangan berpihak kepada Tunku Abdul Rahman Putra.
Semua pelopor politik yang tersebut adalah Melayu Islam (sekurang-kurangnya serumpun Melayu).

Selain sebahagian ulama sebagai pemula atau pencetus dalam pelbagai peradaban atau ketamadunan Melayu Islam yang meliputi keseluruhan aspek kepentingan dunia Melayu, kader-kader mereka pula muncul sebagai generasi penerus.Di antara mereka ada yang muncul sebagai pahlawan Islam dan tanah air.

Sebagai contoh, Tok Janggut di Kelantan pernah belajar kepada beberapa orang ulama di Mekah, termasuk kepada Sheikh Ahmad al-Fathani muncul sebagai penentang pemerintahan Inggeris. Beliau mati di tali gantung.

Mat Kilau di Pahang adalah seorang pahlawan, beliau adalah murid dan kader Mufti Haji Utsman, Mufti Kerajaan Pahang yang pertama. Haji Utsman pula adalah murid Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani (penyusun kitab Mathla'ul Badrain yang terkenal).

Sama ada Tok Janggut mahupun Mat Kilau dalam zaman penjajahan Inggeris dianggap penjahat atau penjenayah, penderhaka terhadap pemerintah. Demikian bijak tipu helah pemerintahan penjajah Inggeris menyelewengkan fakta yang sebenarnya.

Walaupun sekarang kita telah merdeka, sejarah Tok Janggut, Mat Kilau bahkan ramai lagi, masih tetap terselubung bagi generasi kini. Jika generasi kini tidak berusaha memperkenalkan para patriotik kita, maka nama mereka akan lenyap ditelan zaman.

Pelopor


Pelopor yang sebenar ditinjau dari segi agama Islam ialah para Nabi dan Rasul, yang kemudian diikuti oleh para ulama sebagai pewaris para Nabi dan Rasul. Ulama yang menjadi pelopor sangat ramai, yang tidak mungkin disebut satu persatunya di dalam ruangan yang terbatas ini.

Sekian ramai ulama sejak zaman awal hingga tersebarnya Islam di dunia Melayu cukup dikenal dan menjadi ikutan para ulama dunia Melayu seumpama Imam Syafie (Imam Mazhab dari segi fiqh), Imam Abul Hasan al-Asy'ari (Imam akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah), Sheikh Juneid al-Baghdadi (Imam dari segi tasauf), dan lain-lain termasuk ahlul mujtahid Mazhab yang datang sesudah mereka.

Di antara mereka yang kitab-kitabnya menjadi pegangan yang kukuh di dunia Melayu ialah Imam al-Ghazali, seorang tokoh pelopor Islam membahas keilmuwan pelbagai aspek terutama fiqh Syafiiyah, akidah Asya'irah dan sufiah. 'Ulama' ahlil hadis seumpama Imam Bukhari, Imam Muslim dan ramai lagi adalah tidak asing bagi ulama dunia Melayu.
Para ulama dunia Melayu yang pasti, yang dianggap sebagai pelopor, adalah sangat ramai. Yang dapat penulis sebutkan di sini berdasar bukti nyata diutamakan adalah ulama-ulama yang menghasilkan karya penulisan saja, selebihnya belum dapat dibicarakan.

Dalam zaman kebesaran kerajaan Islam Aceh, telah muncul Sheikh Hamzah al-Fansuri tokoh sufi dengan gubahan-gubahan syairnya yang sangat indah. Walaupun sementara ada insan yang mengecam, yang menganggap zindiq dan sesat terhadapnya, namun tiada siapa dapat menafikan bahawa Hamzah al-Fansuri adalah orang pertama pencipta syair dalam bahasa Melayu.

Gaya syair Hamzah al-Fansuri berkembang terus dari satu generasi ke satu generasi hingga sampai ke zaman kita, masih tetap segar dalam kajian sastera Melayu, baik dalam dunia Melayu sendiri mahupun peringkat antarabangsa.

Kepeloporan Hamzah al-Fansuri dalam dunia sufi Melayu juga tidak pernah pudar, walaupun ada segolongan orang yang berusaha membendung kesinambungan karya-karyanya. Hamzah al-Fansuri dalam ilmu kesufiyahannya bukanlah muncul dengan tiba-tiba, dicetuskan bersendirian, tetapi ada asal usulnya.

Tokoh sufi


Dunia Islam pernah kenal dengan tokoh-tokoh besar sufi seumpamanya, seperti Abu Yazid al-Bisthami, Abu Manshur al-Hallaj, Ibnu 'Arabi, dan ramai lagi. Rangkaian zaman Hamzah al-Fansuri diikuti oleh Sheikh Syamsuddin as-Sumatra-i, Sheikh Nuruddin ar-Raniri dan Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Sheikh Nuruddin ar-Raniri adalah orang pertama menulis tentang fiqh Bab 'Ibadah dalam bahasa Melayu yang diberi judul Ash-Shirat al-Mustaqim.

Serentak dengan itu Sheikh Nuruddin ar-Raniri pula orang pertama menulis kitab hadis dalam bahasa Melayu yang diberi judul Hadiyatul Habib. Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri adalah 'ulama' ahlis syariah wah haiqiqah yang paling berkesan dalam rangkaian zaman itu, selain mempunyai murid yang ramai sebagai penyebar Islam dari pelbagai wilayah dunia Melayu.

Beliau adalah pelopor murabbir ruhi sehingga tersebarnya ajaran tasauf menurut metod tarekat terutama Tarekat Syathariyah. Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri pula adalah pelopor terjemah dan tafsir al-Quran lengkap 30 juzuk yang pertama dalam bahasa Melayu yang diberi judul Turjuman al-Mustafid.

Serentak dengan itu beliau pula orang pertama pelopor penulisan fiqh tentang undang-undang kehakiman Islam dalam bahasa Melayu yang diberi judul Mir'atut Thullab. Beliau juga orang pertama sebagai penterjemah Hadis Arba'in Imam Nawawi yang sebahagian besar pentafsirannya menurut kaca mata sufi.

Dalam penulisan sejarah peradaban dan raja-raja dunia Melayu, para pengkaji selalu menyebut tiga gandingan nama dan tiga karya penting, iaitu Sheikh Nuruddin ar-Raniri penulis Bustanus Salathin, Tun Seri Lanang penulis Sulalatus Salathin atau Sejarah Melayu dan Bukhari al-Jauhari atau al-Johori penulis Tajus Salathin.

Rasanya masih ada yang perlu dikaji atau diselidiki dengan teliti kerana beberapa versi manuskrip Tajus Salathin yang telah ditemukan tidak pernah menyebut nama Bukhari al-Jauhari atau al-Johori.

Nama Bukhari al-Jauhari atau al-Johori bukan sahaja tidak diperkatakan banyak tempat, sekali pun tidak dijumpai dalam sesuatu manuskrip Tajus Salathin termasuk manuskrip yang diterbitkan ini. Pendapat ini bukan bererti memandang sinis, atau kecaman terhadap pengkaji yang terdahulu, jauh dari maksud demikian itu.

Penulis tetap menghargai jasa dan jerih payah mereka yang telah berhasil memperkenalkan khazanah dunia Melayu yang penting, namun kita perlu sedar dan insaf bahawa setiap kajian adalah tidak terhenti pada yang ada saja, setiap ketika ia akan berkembang dengan sendirinya dan memang perlu suatu kebangkitan memperkembangkannya.
Adalah suatu kejumudan atau kebekuan jika kita bertahan dan menerima apa saja yang diperkatakan oleh golongan barisan sarjana-sarjana barat (orientalis). Mengenai ini diakui oleh Syed Nasir bin Ismail (ketika beliau menjadi Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada Kata Pengantar Taj Us-Salatin, 1965, dan Edisi Kedua, 1992, hlm. vii).
Beliau menulis, "Walau bagaimanapun pendapat-pendapat yang dikemukakan oleh para sarjana terkadang-kadang sangat jauh menyimpang dari kebenaran, maka kita tidak dapat menafikan bahawa Tajus Salatin banyak memperlihatkan keperibadian Melayu sendiri".

TIGA ULAMA PALING POPULAR


Dimaksudkan dengan perkataan tiga serangkai di atas ialah tiga orang ulama yang paling dikenali di dunia Melayu, iaitu Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
Ketiga-tiga ulama ini adalah pelopor dunia Melayu dalam bidang keilmuan Islam dan mereka pula telah berhasil membentuk sekian ramai insan Melayu berilmu dan bertakwa kepada Allah SWT. Mengenai tiga orang ulama besar dunia Melayu ini tidak perlu dibicarakan lagi kerana telah penulis sebutkan setiap satunya dalam ruangan ini, termasuk disusun dalam buku.

GENERASI PENERUS

Jumlah ulama generasi penerus sangat ramai di antara mereka sebagai contoh seumpama Sheikh Ismail bin Abdullah Minangkabau, tokoh besar sebagai pelopor Tarekat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah. Sheikh Ahmad Khathib bin Abdul Ghaffar Sambas, tokoh besar sebagai pelopor Tarekat Qadiriyah-Naqsyabandiyah. Raja Ali Haji Riau, tokoh besar sebagai pelopor bahasa dan sastera Melayu, serta sejarah. Ketiga-tiga mereka adalah murid Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, adalah tokoh besar pelopor dunia Melayu dalam pelbagai bidang. Ulama ini sangat besar pengaruhnya bukan hanya di dunia Melayu saja, tetapi termasuk di kerajaan Turki 'Utsmaniyah, Mekah dan Mesir.
Mengenai beliau juga telah dibicarakan dalam siri-siri sebelumnya, di sini penulis sentuh sedikit saja sebagai pelengkap dan menunjukkan kesan yang berkesinambungan.
Sheikh Ahmad al-Fathani adalah pencetus pengkaderan ulama Melayu di Mekah, sangat ramai muridnya. Di antara kadernya yang terkenal termasuklah Kiai Haji Hasyim Asy'ari (yang mengasaskan parti Nahdatul Ulama) dan Mufti Haji Abdullah Fahim. Kedua-dua ulama besar dunia Melayu ini penulis singgung adalah memperhatikan perjalanan sejarah terkini, bahawa cucu Kiai Haji Hasyim Asy'ari bernama Haji Abdur Rahman Wahid (Gus Dur) dalam era reformasi Indonesia sempat menjadi presiden negara itu, tetapi tidak bertahan lama.

Cucu Mufti Haji Abdullah Fahim pula bernama Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah bekas Perdana Menteri Malaysia kelima, yang dilantik pada hari Jumaat, 31 Oktober 2003 M bersamaan 5 Ramadan 1424 H.

Ulama Johor yang murid dan kader Sheikh Ahmad al-Fathani dan ulama Mekah lainnya ialah Kadi Haji Abu Bakar bin Haji Hasan Muar. Murid beliau ramai, yang dapat ditonjolkan di sini ialah saudara sepupunya Tan Sri Noah, iaitulah ayah mertua Tun Abdul Razak bin Husein, bekas Perdana Menteri Malaysia yang kedua. Murid Kadi Haji Abu Bakar bin Haji Hasan Muar pula ialah Haji Yassin, iaitulah ayah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Demikian halnya dengan Negeri Sembilan, murid dan kader Sheikh Ahmad al-Fathani dan ulama Mekah lainnya ialah Sheikh Muhammad Said bin Sheikh Jamaluddin Linggi. Sheikh Muhammad Said Linggi adalah pelopor terbesar Tarekat Ahmadiyah di dunia Melayu.
Ramai keturunan dan warisnya yang menjadi ulama, di antaranya Mufti Haji Ahmad. Mufti Haji Ahmad inilah yang membaca doa pelantikan Yang di-Pertuan Agong Malaya yang pertama. Mufti Negeri Sembilan yang sekarang (1430 H/2009 M), Asy-Sheikh Datuk Mohd. Murtadza adalah anak Mufti Haji Ahmad bin Sheikh Muhammad Sa'id Linggi yang tersebut.

Rasanya tulisan ini adalah tidak lengkap jika tidak menyebut murid dan kader Sheikh Ahmad al-Fathani yang paling terkenal, beliau ialah Tok Kenali. Murid Tok Kenali pula tersebar seantero dunia Melayu. Di antara murid Tok Kenali ialah Syeikh Idris al-Marbawi, iaitulah penyusun Kamus Al-Marbawi, sebuah kamus Arab-Melayu yang pertama tersebar luas di seluruh dunia Melayu.

Tuan Guru Haji Nik Mat, juga murid Tok Kenali. Tuan Guru Haji Nik Mat adalah ayah Datuk Abdul Aziz Nik Mat, iaitulah Menteri Besar Kelantan sekarang.
Selain Tok Kenali sangat ramai ulama Kelantan yang menjadi pelopor, yang terpenting di antara mereka ialah Nik Mahmud, Dato' Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan, Haji Muhammad bin Muhammad Said, Dato' Laksamana Kelantan.

Dalam masa yang sama dengan era kebangkitan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani di Mekah, sangat ramai ulama yang berasal dari dunia Melayu yang terkenal, sekali gus merupakan guru kepada ulama-ulama dunia Melayu yang muncul sesudah mereka.

Dari pelbagai wilayah dunia Melayu, muncul pula pelopor-pelopor yang terkenal. Di antaranya ialah Haji Amrullah ketika di Mekah seperguruan dengan Sheikh Ahmad al-Fathani, sama-sama belajar dengan Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.

Anak beliau ialah Dr. Sheikh Abdul Karim Amrullah juga belajar di Mekah. Di antara gurunya termasuk Sheikh Ahmad al-Fathani dan Sheikh Ahmad Khathib bin Abdul Lathif Minangkabau. Dr. Sheikh Abdul Karim Amrullah adalah tokoh pelopor tajdid/reformis yang terkenal.

Anak beliau ialah Buya Prof. Dr. Hamka (singkatan nama dari Haji Abdul Malik Abdul Karim Amrullah) seorang tokoh Islam dunia Melayu yang paling popular pada zamannya.
Merujuk kembali tentang Sheikh Ahmad Khathib bin Abdul Lathif Minangkabau, beliau adalah seorang ulama besar yang berasal dari dunia Melayu atau Minangkabau yang pernah menjadi Imam dan khatib Mazhab Syafie di Masjidil Haram, Mekah, adalah pelopor penentang beberapa adat Minangkabau yang dianggapnya bertentangan dengan syarak.

Di antara adat itu ialah memperoleh harta kewarisan atau pusaka dari pihak perempuan. Muridnya juga sangat ramai, bukan yang berasal dari Minangkabau saja tetapi juga dari seluruh dunia Melayu.

Ulama besar dunia Melayu, berasal dari Sarawak, Borneo/Kalimantan, yang mengajar di Masjidil Haram Mekah pula ialah Sheikh 'Utsman bin Abdul Wahhab Sarawak.
Murid beliau juga ramai kerana selain mengajar di Masjidil Haram juga mengajar di beberapa tempat di dunia Melayu. Di antara muridnya termasuk Dr. Sheikh Abdul Karim Amrullah.

Ini diakui oleh Buya Prof. Dr. Hamka dalam bukunya Ayahku. Seorang ulama yang berasal dari Batu Bahara, Pasir Dahari, Inderapura (Langkat) bernama Sheikh Muhammad Zain Nuruddin bin Sheikh 'Abbas al-Khalidi, dalam karyanya berjudul Miftah ash-Shibyan fi 'Aqaid al-Iman menyebut nama beberapa orang gurunya di Mekah, di antaranya termasuk juga Sheikh 'Utsman bin Abdul Wahhab Sarawak.

Haji Sulong bin Abdul Qadir al-Fathani yang berasal dari Patani adalah keturunan ulama besar Patani Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani.
Beliau mendapat pendidikan di Mekah dari ulama-ulama yang telah disebutkan di atas. Selanjutnya Haji Sulong bin Abdul Qadir al-Fathani adalah pelopor kebangkitan jihad fi sabilillah untuk mengembalikan Daulah Fathani Darus Salam yang tidak akan sirna dari lubuk hati umat Islam Patani yang beriman, sedar, menghayati sejarah, dan insaf sepanjang zaman.

Masih ramai pelopor Melayu-Islam baik dari golongan ulama mahupun yang bukan ulama tidak sempat disebut dalam ruangan yang terbatas ini.
Maka sampai di sini saja perbicaraan ini, mudah-mudahan kita dapat mengabadikan nama ulama dunia Melayu tersebut agar generasi penerus masih dapat mengenal sejarah perjuangan mereka dalam memperkasakan dunia Melayu-Islam.


Koleksi tulisan ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

Penulisan Puisi oleh Ulama Asia Tenggara

Penulisan puisi oleh ulama Asia Tenggara

TIADA dapat dinafikan bahawa apabila kita membicarakan syair dan nazam di Asia Tenggara, sebahagian besar para sarjana sastera berpendapat telah dimulai oleh Sheikh Hamzah al-Fansuri.

Sama ada pada satu sudut lain, ada pihak yang memandang beliau sebagai seorang zindiq kerana faham wihdah al-wujudnya, mahupun golongan pengkagum melihat bahawa beliau adalah seorang siddiq. Bagi yang pro atau kontra kepadanya, mereka turut bersependapat bahawa beliau adalah seorang cerdik cendekiawan Islam-Melayu, atau dengan perkataan lain, Hamzah al-Fansuri adalah seorang ulama sufi.

Peranan para ulama silam Melayu di bidang penulisan dalam bentuk prosa ataupun puisi memang terbukti dengan peninggalan-peninggalan mereka yang cukup banyak dan sangat berpengaruh terhadap rumpun Melayu.

Karya-karya mereka dalam bentuk prosa di sana sini telah diperkenalkan, akan tetapi mengenai senarai nama para ulama dan puisi-puisi Melayu (terutama genre syair dan nazam) gubahan ulama kita secara lengkap belum pernah diperkenalkan.

Kumpulan puisi Raja Ali Haji telah diusahakan oleh Abu Hassan Sham yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Kumpulan puisi Sheikh Ahmad al-Fathani pula telah selesai penyusunannya oleh penulis sendiri, yang dapat dirujuk buku berjudul Sheikh Ahmad al-Fathani: Pemikir Agung Melayu dan Islam, Jilid 2, yang diterbitkan oleh Khazanah Fathaniyah.

Umum mengetahui bahawa Raja Ali Haji dan Sheikh Ahmad al-Fathani adalah ulama. Apabila kita kaji dengan teliti bahawa puisi Melayu ada yang digubah oleh ulama dan ada pula yang digubah oleh orang biasa.

Di antara mereka pula ada yang kita ketahui identitinya sebagai seorang ulama, tetapi tidak kurang pula yang tidak dapat dikesan. Adakah dia seorang ulama ataupun bukan, walaupun sesetengah namanya diketahui.

Artikel kali ini cuba memperkenalkan beberapa nama penggubah syair/nazam Melayu yang telah dikenalpasti identitinya sebagai seorang ulama.

Ulama penggubah puisi abad 16-17

Sebagaimana disebutkan di atas bahawa penggubah syair pertama dalam bahasa Melayu adalah Sheikh Hamzah al-Fansuri. Tokoh ini sangat banyak diminati oleh para pengkaji/sarjana, baik pengkaji/sarjana tempatan mahupun dunia luar terutama orang Barat.

Sungguhpun demikian masih dianggap sukar mendapatkan karya-karya Sheikh Hamzah al-Fansuri dalam bentuk tulisan Melayu/Jawi, sama ada dalam bentuk manuskrip mahupun berupa bahan cetakan.

Bagi penulis, menemukan atau mengesan manuskrip karyanya lebih mudah berbanding karya-karya dalam bentuk cetakan Melayu/Jawi.

Sampai sekarang keseluruhan puisi Hamzah Fansuri yang terkumpul dalam sebuah buku yang lengkap belum ditemui, walaupun sebuah buku yang padat membicarakan pelbagai aspek Hamzah al-Fansuri telah ditulis oleh Syed M. Naquib al-Attas.

Ulama penggubah puisi abad ke-18

Ulama yang sezaman dengan Hamzah al-Fansuri mahupun sesudahnya seperti Sheikh Syamsuddin al-Sumatra-i, Sheikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri dan lain-lain walaupun diketahui banyak menghasilkan karya dalam corak prosa, tetapi tidak dapat dikesan karya mereka yang bercorak puisi.

Hingga abad ke-18, zaman kemunculan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, beliau ini banyak menghasilkan karya bercorak prosa, tetapi hanya sedikit saja menghasilkan karya bercorak puisi.

Karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang bercorak puisi dari awal karya hingga akhir hanya sebuah sahaja, iaitu yang diberi judul 'Iqdu al-Jawahir, berupa syair mengenai akidah. Syair ini beliau syarah sendiri sehingga menghasilkan sebuah kitab yang besar diberi judul Ward al-Zawahir bi Alfaz 'Iqdi al-Jawahir.

Di sini ada perbezaan dengan Ruba'i Hamzah Fansuri, tidak disyarah oleh Hamzah al-Fansuri sendiri tetapi disyarah oleh Sheikh Syamsuddin Sumatra-i.

Selain itu, dari karyanya yang bercorak prosa hanya banyak terdapat dalam Jam'u al-Fawaid saja. Di beberapa tempat lain pula terdapat sisipan beberapa puisi mengenai shalawat dan lain-lain.

Selain Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ulama yang seangkatan dengan beliau juga tidak dapat dikesan sebagai penggubah puisi, sehingga muncul peringkat murid beliau, ialah Raja Ali Haji, pujangga bahasa Melayu yang terkenal. Sewaktu Raja Ali Haji bersama ayahnya ke Mekah tahun 1243 H/1827 M, beliau sempat belajar daripada Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Jika dibandingkan beberapa baris bahagian mukadimah Gurindam Dua Belas Raja Ali Haji, terdapat persamaan maksudnya dengan mukadimah syair Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam 'Iqdu al-Jawahir.

Bagaimanapun, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani lebih banyak dibicarakan pada sektor ketokohannya sebagai ulama, sedang Raja Ali Haji lebih banyak dibicarakan sebagai tokoh bahasa Melayu.

Sebagaimana Sheikh Hamzah al-Fansuri, demikianlah Raja Ali Haji sudah cukup banyak dibicarakan. Setiap kali seminar bahasa, terlalu banyak orang membicarakan tentang ulama dan tokoh besar golongan bangsawan yang berasal dari Riau itu.

Pengumpulan puisi yang dimuat dalam satu buku khas nampaknya Raja Ali Haji mendahului tokoh-tokoh lainnya.

Buku tersebut diberi judul Puisi-puisi Raja Ali Haji, oleh Abu Hassan Sham, merupakan penerbitan pertama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tahun 1993.

Buku tersebut juga merupakan salah satu projek Bahagian Sastera DBP. Buku yang tebalnya 803 halaman termasuk halaman Bibliografi dan Indeks itu mungkin buku pertama hasil usaha pengumpulan hasil puisi Melayu yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh sasterawan kita yang terkenal.

Demikian nama Raja Ali Haji menjulang tinggi sejak beliau hidup, hingga masih segar di ingatan para pencinta sastera klasik dunia Melayu pada zaman moden sehingga kini.

Sezaman dengan Raja Ali Haji ialah Saiyid Muhammad bin Zainal Abidin al-Aidrus (1795 - 1878 M) yang berasal dari Terengganu. Beliau ini juga sempat belajar kepada Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Mekah.

Datuk Misbaha dalam tulisannya menyebut bahawa Saiyid Muhammad al-Aidrus adalah sebagai 'Pelopor dan Bapa Kesusasteraan Melayu Terengganu' (majalah Pesaka, 1983:87).

Selanjutnya digelar juga dengan Tukku Tuan Besar. Beliau adalah seorang ulama yang mengarang dalam bentuk prosa dan puisi. Mengenai puisinya yang paling popular dan berpengaruh ialah berjudul Kanzil Ula.

Harun Mat Piah dalam bukunya Puisi Melayu Tradisional (1989) telah membahas kandungan Kanzil Ula dan Jauharus Saniyah secara ilmiah dan panjang lebar, kedua-dua judul itu dikategorikan karya tersebut sebagai nazam.

Kedua-dua ulama penggubah puisi peringkat murid Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani itu, Raja Ali Haji (Riau) lebih banyak mendapat liputan penulisan antarabangsa dan dunia Melayu jika dibandingkan dengan Tukku Tuan Besar (Terengganu) yang masih baru diperkenalkan oleh para sarjana dan pengkaji.

Ulama-ulama penggubah puisi abad ke-19

Pada abad ke-19, barulah ramai ulama dunia Melayu menyerlahkan diri mereka yang berperanan aktif sebagai penggubah puisi Arab dan Melayu.

lSheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani,

lSheikh Muhammad Zainuddin al-Sumbawi,

lSheikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi (Aceh),

lSheikh Muhammad Azhari bin Abdullah al-Falimbani,

lSheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga (Riau),

lSheikh 'Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani (Pontianak),

lSheikh Muhammad Tahir Jalaluddin al-Minkabawi,

lHaji Muhammad Husein bin Abdul Latif al-Fathani,

lHaji Abdur Rauf Melaka,

lSheikh Muhammad Shalih al-Fathani

lRaja Haji Muhammad Sa'id Riau.

Maklumat beberapa puisi yang telah dihasilkan oleh ulama-ulama yang tersebut diringkaskan sebagai yang tersebut di bawah ini:

Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani

Hamzah al-Fansuri dan Raja Ali Haji kedua-duanya adalah ulama Melayu merupakan lambang terbesar penggubah puisi Melayu pada zamannya. Maka demikian halnya Sheikh Ahmad al-Fathani adalah lambang terbesar dalam hal yang sama pada abadnya.

Bahkan ketiga-tiga ulama dan tokoh yang tersebut memang merupakan penggubah puisi Melayu yang produktif, meninggalkan hasil gubahan puisi yang terbanyak jika dibandingkan dengan semua tokoh Melayu setiap zaman dari dulu hingga kini.

Bezanya hanyalah Hamzah al-Fansuri dan Raja Ali Haji telah banyak diperkenalkan, sedang Sheikh Ahmad al-Fathani belum begitu banyak.

Ada pun khas mengenai sejarah hidup serta puisi-puisi gubahan Sheikh Ahmad al-Fathani telah penulis kumpulkan dan dimuat dalam buku Sheikh Ahmad al-Fathani: Pemikir Agung Melayu dan Islam, Jilid 1 dan 2.

Dengan diterbitkan buku tersebut, bererti merupakan buku yang kedua kumpulan puisi Melayu sesudah buku Puisi-puisi Raja Ali Haji yang telah disebutkan di atas.

Raja Ali Haji hidup antara tahun 1809 - 1870 M, manakala Sheikh Ahmad al-Fathani pula hidup antara tahun 1272 H/1856 M - 1325 H/1908 M.

Ini bererti sewaktu Raja Ali Haji wafat, Sheikh Ahmad al-Fathani berusia sekitar 14 tahun. Dengan demikian, secara tidak langsung Sheikh Ahmad al-Fathani merupakan penyambung aktiviti bahasa dan sastera yang dijalankan oleh Raja Ali Haji. Ini bererti bahawa dunia Melayu tidak pernah kekeringan tokoh penyair atau penggubah puisi.

Puisi Sheikh Ahmad al-Fathani yang pertama dalam bahasa Melayu bercorak nazam ditulis dalam usia 15 tahun, pada tahun 1287 H, diberi judul Nazam Nuril Anam ditulis sewaktu berada di dalam Masjidil Haram, Mekah.

Karya puisi beliau yang pertama dalam bahasa Arab ialah Jumanat at-Tauhid (diselesaikan di Mesir, 1293 H/ 1876 M), ditulis dalam Masjid Jamik Al-Azhar, Mesir.

Nazam Nuril Anam ditinjau dari segi genre nazam banyak persamaan model susunan dan gaya bahasanya dengan Kanzil Ula karya Tukku Tuan Besar Terengganu, tetapi jika ditinjau dari segi kandungan maka Nazam Nuril Anam jauh lebih lengkap daripada Kanz al-'Ula. Nazam Nuril Anam Sheikh Ahmad al-Fathani membicarakan mulai kelahiran Nabi Muhammad SAW dan menyentuh hampir keseluruhan aspek Islam, sedangkan Kanzil Ula Tukku Tuan Besar Terengganu yang dibicarakan hanya di persekitaran riwayat kelahiran Nabi Muhammad SAW saja.

Keseluruhan puisi Sheikh Ahmad al-Fathani, baik berbahasa Arab mahupun bahasa Melayu yang banyak disiarkan dalam hampir semua kitab yang ditashihnya, diletakkan di bahagian depan ataupun di bahagian belakang penerbitan itu. Selain itu ada pula yang masih dalam bentuk manuskrip.

Sheikh Muhammad Zainuddin al-Sumbawi

Beliau ini adalah seorang ulama yang berasal dari Sumbawa (Indonesia) yang tinggal di Mekah dan mengajar di Masjid al-Haram, Mekah. Ditinjau dari segi sejarah perkembangan Islam di Asia Tenggara beliau adalah termasuk ulama dan tokoh penting, tetapi ditinjau dari segi seorang penyair tidaklah begitu menonjol. Hanya sedikit puisinya dapat disemak dalam sebuah karyanya yang berjudul Sirajul Huda.

Sheikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi

Beliau adalah seorang ulama yang berasal dari Aceh. Kurang begitu jelas apakah ada dua orang yang bernama Sheikh Ismail bin Abdul Mutalib itu, kerana selain disebutkan berasal dari Aceh ada pula yang di hujung namanya memakai nama "al-Minankabawi".

Baik yang memakai nama "al-Asyi" (pada semua kitab karyanya), mahupun yang memakai "al-Minankabawi" (dalam surat menyurat.

Nama sama, tetapi di hujung berlainan. Namun kedua-duanya ada hubungan dengan aktiviti Sheikh Ahmad al-Fathani.

Ulama bernama Sheikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi (di Mekah) dilantik oleh Sheikh Ahmad al-Fathani sebagai pentashih kitab Melayu/Jawi pada saksi yang dikarang oleh ulama-ulama Aceh.

Pada kitab-kitab yang ditashihnya itulah kita dapat mengenal beberapa puisi Sheikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi. Bagi yang memakai nama "al-Minankabawi", di hujung nama pula ditugaskan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani sebagai Rais Thalabah (Mahasiswa) Melayu di Mesir.

Namun penulis lebih cenderung beranggap bahawa Sheikh Ismail bin Abdul Mutalib yang berasal dari Jawi itu hanya satu orang sahaja, walaupun di hujung nama berbeza. Puisi-puisi Sheikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi terdapat pada cetakan Jam'u Jawami' al-Musannafat, cetakan Taj al-Muluk, cetakan Muqadimat al-Mubtadiin dan lain-lain.

Sheikh Muhammad Azhari bin Abdullah al-Falimbani


Beliau adalah ulama yang berasal dari Palembang, merupakan ulama produktif dalam penulisan sesudah Sheikh Abdus Samad al-Falimbani yang terkenal itu. Sheikh Abdus Samad al-Falimbani juga menghasilkan puisi sama ada bahasa Melayu, mahupun bahasa Arab, berbeza dengan Sheikh Muhammad Azhari al-Falimbani bahawa beliau menghasilkan puisi dalam bahasa Melayu saja.

Puisi-puisi Sheikh Muhammad Azhari al-Falimbani terdapat dalam karyanya Badi'uz Zaman. Puisi-puisi tersebut telah penulis transliterasi dan dimuat dalam buku Sheikh Abdus Shamad Al-Falimbani: Shufi dan Jihad Dunia Melayu (cetakan 1995).

Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga

Ulama yang berasal dari Riau ini adalah seorang tokoh bahasa Melayu yang cukup terkenal di Mekah pada zamannya sehingga beliau digelar 'Qus Bahasa Melayu'.

Beliau menghasilkan beberapa buah karangan dalam bentuk prosa, dan puisi-puisinya. Hampir semua karyanya dalam bentuk prosa ada dalam simpanan penulis, tetapi belum ditemui yang berupa puisi, sungguhpun dikatakan beliau banyak menghasilkan karangan berbentuk puisi.

Sheikh 'Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani

Beliau adalah murid Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, yang banyak menghasilkan karya. Puisi-puisi Sheikh 'Utsman al-Funtiani ditemui dalam karyanya yang berjudul Fath al-Makkah.

Ada yang merupakan terjemahan dari bahasa Arab ke bahasa Melayu, tetapi sajak pada rima akhir setiap puisi tetap dikekalkan. Ada pula merupakan ciptaan sendiri bukan terjemah.

Keterbatasan ruangan ini mengehadkan perbicaraan ini dibicarakan sepenuhnya. Maka ia dilanjutkan pada ruangan akan datang dengan memperkenalkan pula ulama-ulama lain yang turut terlibat dalam penulisan puisi di Asia Tenggara.

Selebihnya yang akan dibicarakan adalah Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin al-Minkabawi, Haji Muhammad Husein bin Abdul Latif al-Fathani, Haji Abdur Rauf Melaka, Sheikh Muhammad Shalih al-Fathani dan Raja Haji Muhammad Sa'id Riau.

~Koleksi tulisan Allahyarhan Wan Muhammad Saghir Bin Abdullah~