Click this link!

Thursday, May 24, 2007

Berharapkan nikmat dr awan yang mendung


Seorang ahli hikmah pernah berkata :

“Bukanlah diharapkan dari awan mendung yang mendatangi itu sekadar turunnya air hujan yang melimpahi bumi, tetapi apa yang dikehendaki ialah berbuahnya pohon-pohon dari bumi yang gersang.”

# Mendung adalah lambang kepada kehadiran Warid Al-Ilahiyyah
# Bumi adalah hati tempat tadahannya.
# Berbuahnya pohon-pohon adalah rezeki maknawi yang penuh keberkatan.


Warid Al-Ilahiyyah yang datang itu bukanlah sejenis kerana ia kaya dengan bentuk-bentuknya yang tersendiri, sekadar menyatakan Esa dan AgungNya Zat Yang Maha Tinggi itu.

Terkadang ia datang:

* Dalam saat-saat yang diperlukan oleh bumi yang sekian lama kering kemarau; cukup sekadar mendinginkan udara dan menyejukkan bumi yang telah lama panas.
* Sekejap-sekejap pada waktu panas yang berkala, cukup sekadar membersihkan jalan dan longkang yang kotor.
* Berpanjangan datangnya sehingga lemas dan rosak binasa segala haiwan, manusia, pokok kayu dan harta benda, cukup sebagai satu musibah dan malapetaka
* Dengan ganas dan keras, sehingga tercabut segala sesuatu yang terpacak dan berdiri pada bumi, cukup sekadar menyatakan betapa kuat dan kuasanya ia.

Ia boleh datang dalam pelbagai bentuk dan wajah.

* Terkadang dengan puji-pujian dan kunjungan orang ramai
* Terkadang dengan caci-cela herdikan makhluk-makhluk Allah
* Terkadang dengan pelbagai nikmat kesenangan zhohir atau batin
* Terkdang dengan bala-musibah zhohir atau batin.

Ia cuma berbeza dari segi bentuk atau wajahnya, tetapi dari segi puncanya ianya Satu.

Kenapa hati jinak bila mendapat pujian dan kunjungan orang ramai, sedangkan sewaktu caci-cela hati menjadi liar?
Kenapa hati mesra bila dengan nikmat kesenangan sedangkan sewaktu bala meronta-ronta?

Berdentam-dentum bunyi guruh dan petir yang menyambar mengiringi awam mendung yang berarak, namun tidak setitik pun air hujan gugur ke bumi buat menumbuhkan pohon-pohon yang lebat berbuah dari dahan-dahannya yang rendang. Masa yang agak sesuai untuk aku menghisab diri.

Dalam menghisab diri, ketemui satu kunci yang pernah digunakan oleh Sheikh Sufi yang Agung. Kuamat-amati kata-katanya: "Dengan Muhasabah yang sungguh-sungguh akan menyampaikan hamba itu kepada darjat orang Muraqobah." Tambah beliau lagi; "Muraqobah itu adalah sesuatu yang menjadi asal pada segala thoriq yang ada."

Memang benarlah kerana dengan mengkoreksi diri dan bentuk-bentuk yang mendatangi, membawa aku kepada keadaan diri yang mengintai-ngintai dan melihat Allah.

Oleh kerana itu, pada waktu subuh aku memandang untuk melihat bagaimana seseorang memandang kesatuan Tuhan.

¨ Aku melihat bahawa beberapa orang telah melihat Tuhan dengan mata kefakiran dan kefanaan;
¨ Aku melihat bahawa beberapa orang telah melihat Tuhan beberapa orang dengan mata bentuk;
¨ Aku melihat bahawa beberapa orang telah melihat Tuhan dengan mata arah;
¨ Aku melihat bahawa beberapa orang telah melihat Tuhan dengan mata benda;
¨ Aku melihat bahawa beberapa orang telah melihat Tuhan dengan watak dan bintang-bintang;
¨ Aku melihat bahawa beberapa orang telah melihat Tuhan dengan biji benih, dengan cawang dan ranting pepohon.

Dan Tuhan bukanlah tanpa semua ini. Aku mengatakan:

"Oh Tuhan, kadang-kadang aku melihat-Mu dengan mata seseorang yang senang, kadang-kadang aku melihat-Mu dengan mata kefakiran dan kefanaan, kadang-kadang dengan mata terpaksa, kadang-kadang dengan mata berahi, kadang-kadang dengan mata para pecinta. Atau kadang-kadang dengan mata benih yang tersembunyi dalam tanah, kadang-kadang dengan mata pepohon yang rendang.

“Oh Tuhan, kepada siapa sahaja, Kau telah mengurniai mata untuk melihat-Mu, dengan segala macam kebiasaan dan watak dia telah dikurniai, sehingga tindakan-tindakan dan gerakan-gerakannya tak terelakkan berlangsung menurut kebiasaan dan wataknya.


Jika dia melihat Tuhan dengan cara bermacam macam, keadaan ruhaninya juga menjadi bermacam-macam

oleh:Majnun

Ya Huu

No comments: